Bab 4 Peringkat peringkat Iman

FALSAFAH sekularisma yang diamalkan hari ini telah mengasingkan manusia kepada kelas-kelas tertentu mengikut pangkat darjat dan harta kekayaan. Siapa sahaja yang kaya dan tinggi pangkatnya. dianggap mulia dan terhormat serta layak diberi sanjungan. Sebaliknya pula siapa sahaja yang miskin dan rendah pangkatnya terus dianggap hina, tidak berguna dan patut diketepikan.
Inilah sistem yang sedang kita laksanakan dan jayakan bersama sekarang ini. Hasilnya, melalui pengalaman kita bersama juga, kita telah membuat kesimpulan bahawa meletakkan manusia sebagai hina atau mulia melalui miskin atau kayanya mereka adalah tidak patut, tidak adil dan tidak logik. Sebabnya:
  1. Ia mewujudkan jurang yang memisahkan orang miskin dan tidak berpangkat dengan orang kaya dan berpangkat. Jurang ini juga membiakkan rasa tidak hormat-menghormati dan saling tidak percaya-mempercayai antara kedua-dua golongan. Maka hidup suburlah sifat hasad dengki dan dendam kesumat di dalam jiwa kedua pihak. Akibatnya, sepertimana yang kita saksikan hari ini, masyarakat dipenuhi berbagai-bagai kes jenayah.
  2. Apabila wang ringgit dan pangkat darjat yang diperlumbakan, maka budi luhur dan akhlak mulia akan diabaikan. Hasilnya kehidupan manusia menjadi liar dan kejam, seliar haiwan-haiwan yang tidak berakal.
  3. Tamadun yang diasaskan hanya melalui Wang ringgit dan pangkat darjat hanya melahirkan manusia yang pasif, penakut dan panjang angan-angan. Bukan sahaja jiwa dan fikiran mereka tidak merdeka, malah mereka cukup lemah untuk mempertahankan kedaulatan prinsip dan budaya bangsa dan agama.
Apa kata Islam dalam menghadapi soal ini dan mampukah Islam menyelesaikan masalah yang disebutkan di atas? Firman Allah:
Terjemahan: Sesungguhnya semulia-mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. (Al Hujurat: 13)
Sabda Rasulullah SAW:
Terjemahan: Sesungguhnya Rasulullah berkata kepada Abu Zar: Lihatlah, sesungguhnya engkau tidak dinilai kemulian kerana kulit merah dan tidak juga kerana hitam sebaliknya mulianya kamu dengan sebab taqwa. . (Riwayat: .Ahmad)
Sabda Rasulullah SAW lagi:
Terjemahan: Orang mukmin itu bersaudara tidak ada kelebihan seseorang dari seseorang yang lain melainkan taqwa. (Riwayat: At Tabrani)
Sabdanya lagi:
Terjemahan: Kamu semua dari keturunan Nabi Adam, dan Adam itu ciptaannya dari tanah, tiada lah lebihnya orang Arab dari orang 'ajam (selain Arab) kecuali dengan sifat taqwa. Menurut Islam, mulia hinanya manusia itu dikelaskan menurut taraf iman masing-masing. Siapa yang tinggi imannya dialah yang termulia dalam pandangan Islam. Siapa yang rendah imannya maka rendahlah dia dalam pandangan Islam. Dan siapa yang tiada langsung imannya maka dia itulah sehina-hina manusia menurut Islam.
Pengelasan yang didasarkan atas darjat keimanan begini adalah cara pengelasan yang paling tepat dan adil. Banyak sebab mengapa saya berkata demikian. Di antaranya ialah:
  1. Iman adalah musuh ketat nafsu dan syaitan. Kerana itu iman tidak mungkin bekerjasama dengan nafsu dan syaitan. Segala sifat-sifat mazmumah seperti dengki, dendam, pemarah dan lain-lain akan terhapus bila iman bertakhta di hati.
    Jadi apabila kemuliaan manusia disukat dengan ketinggian iman, bukan dengan pangkat dan harta, sekaligus penyakit dengki, dendam dan lain-lain itu tidak akan merebak lagi dalam masyarakat. Bila yang diperebutkan ialah iman, manusia tidak akan bercakaran lagi. Bila yang diperlumbakan ialah iman, manusia tidak akan berampokan lagi. Kes cakar dan rampok yang banyak berlaku sekarang adalah berpunca dari dengki dan dendam kesumat yang dinyalakan oleh syaitan, untuk membantu nafsu gila pangkat dan harta yang direbut dan diperlumbakan masyarakat kini.
  2. Orang yang kuat imannya ialah orang yang baik akhlaknya. Apabila orang-orang begini diberi penghormatan sebagai orang yang termulia dalam masyarakat, secara tidak langsung ahli-ahli masyarakat seluruhnya akan terdidik untuk menerima dan mengamalkan kehidupan beragama dan berakhlak mulia.
  3. Penyatuan umat dalarn erti yang sebenar ialah bersatunya mereka yang mempunyai fahaman, keyakinan dan cita-cita yang sama Bila Islam mengelaskan manusia menurut nilai iman, maknanya Islam mahu mengumpul dan menyatukan orang-orang yang beriman dalam satu kumpulan. Apabila ini terlaksana akan banyaklah kepentingan-kepentingan masyarakat Islam dapat ditegakkan.
Sememanglah, lain orang lain taraf imannya. Ertinya taraf iman seseorang tidak akan sama dengan taraf iman yang dicapai oleh seseorang yang lain. Kerana itu, Islam membezakan iman kepada lima peringkat. Seorang Islam tidak akan terkeluar dari salah satu dari lima ini:
  1. Iman Taqlid
  2. Iman Ilmu
  3. Iman Ayan
  4. Iman Hak
  5. Iman Hakikat
Supaya senang untuk kita mengetahui di peringkat iman manakah kita berada, elok saya terangkan maksud dan sifat tiap-tiap jenis iman itu secara teori ilmiah menurut Islam.



1. IMAN TAQLID

Iman taqlid ialah iman ikut-ikut. Dengan istilah yang biasa, iman taqlid ialah iman pak turut. Maknanya orang yang memiliki iman taqlid, ialah orang yang beriman dengan semua rukun iman hanya secara menurut-nurut orang lain; apa orang kata, dia pun kata. Pegangan Islamnya tidak kuat, prinsip Islamnya tidak kukuh. Dia tidak ada alasan yang kuat mengapa dia beriman. Kalau ditanya, "Apa bukti wujudnya Allah?" Dia hanya mampu menjawab, "Saya dengar orang semua kata ada, saya pun kata adalah!"
Begitu taraf keyakinan orang yang memiliki iman taqlid. Dia tidak ada hujah untuk membuktikan keyakinannya; tidak ada dalil untuk menerangkan apa yang diyakininya. Siapa agaknya orang-orang yang memiliki iman taqlid ini? Kita mungkin mengagak segelintir orang-orang bodoh-dungu, yang tidak sekolah dan yang tidak ada kepentingan apa-apa dalam masyarakat. Bukan begitu! Yang sebenamya majoriti umat Islam hari ini, baik berpangkat atau tidak, miskin atau kaya, bodoh atau bijak, adalah orang-orang yang beriman taqlid. Sepertilab agama Islam yang mereka anut itu hanya kerana kebetulan dilahirkan oleh ibu bapa yang beragama Islam, maka iman itu juga hanya ada kerana terdorong dan terpaksa oleh kebiasaan dan keadaan sejak lahir. Contohnya, kita tanyalah mereka:
"Apa dalil Allah itu bersifat samak (mendengar)?"
"Apa dalil malaikat itu ada?"
"Apa dalil Muhammad itu Rasulullab?"
"Apa dalil Al Quran itu kitabullah?"
"Apa dalil qada dan qadar itu dari Allah?"
Mereka hanya akan memberi jawapan dalam bentuk senyuman. Kerana mereka sebenamya tidak tahu. Mereka tidak pemah memikir dan mempelajarinya! Kalau ada pun belajar, hanyalah sambil lewa, waktu terdesak dan tidaklah untuk dihayati. Masa, tenaga dan Wang ringgit mereka habis diuntukkan pada mengkaji ilmu-ilmu lain sahaja. Mereka lebih tahu tentang anatomi seekor kuman yang amat seni, dari mengetahui tentang Allah yang Maha Besar. Mereka lebih mahir tentang bentuk bumi yang sulit dan rumit dari suasana Qiamat yang dahsyat. Mereka lebih yakin pada teori-teori sains dari janji-janji Allah yang termaktub dalam Al Quranul Karim.
Akibatnya, majoriti umat Islam hari ini tidak sayang pada Islam. Tidak cinta pada Allah dan tidak taat pada hukum-hukum-Nya. Malah secara membabi buta menentang dan memusuhi agama mereka sendiri.
Sifat orang-orang yang beriman taqlid terhadap agama Islam sepertilah sifat daun pisang kering yang bergerak mengikut arah pergerakan angin. Kalau angin kuat ke utara, ke utaralah mereka, sebaliknya kalau angin mengarah ke selatan, ke selatanlah mereka. Kalau musim joget lambak, berjoget lambaklah mereka. Kalau musim maulud, bermauludlah mereka. Dan kalau musim dakwah, berdakwah pula lah mereka. Bukan mereka tidak tahu betapa Islam tidak suka pada sikap begitu, tetapi iman yang ada tidak mampu membendung keinginan nafsu liar itu. Mereka juga tidak sanggup berdepan dengan ujian hidup.
Patut sangatlah disedari bahawa kalau keadaan begini dibiarkan berkekalan, umat Islam akan jadi rendah dan hina di mata musuh. Jadi mudahlah untuk dibeli dan dijual, diperkotak-katikkan sebagai alat buat menjayakan sistem hidup dan ideologi mereka.
Mengikut qaul yang paling jelas, iman taqlid ini tidak sah. Tetapi ada satu qaul yang memberikan kelonggaran dengan mengatakan bagi seseorang yang sangat bodoh, yang kalau belajar pun memang tidak boleh dapat, maka munasabahlah ia beriman taqlid. Jadi dalam keadaan ini iman taqlid adalah sah.'Tetapi bagi orang-orang yang pintar, cerdik dan mampu berfikir, hanya dia tidak belajar agama, maka beriman taqlid, tidaklah sah imannya. Maknanya Allah tidak iktiraf dia sebagai orang yang beriman.
Apabila iman tidak diterima, maka seluruh amalan-amalannya juga tidak akan diterima. Sembahyang, puasa, zakat, haji, jihad, zikir, wirid dan ibadah-ibadah lain walau sebanyak dan sebesar mana pun, tidaklah akan dinilai oleh Allah. Kalaulah orang itu mati dalam keadaan taqlid, tidak pun berniat untuk menuntut ilmu, menambah iman, maka matilah ia sebagai mati orang kafir. Tempatnya dalam Neraka, kekal abadi selama-lamanya.

2. IMAN ILMU

Iman ilmu ialah iman yang berdasarkan ilmu. Ilmu di sini ialah ilmu keimanan yang ada digariskan dalam agama Islam. Ilmu-ilmu lain walau sebanyak mana pun tidaklah boleh menghasilkan iman ilmu. Jadi seseorang yang beriman ilmu ini ialah seseorang yang telah mempelajari secara rasmi tentang Allah, malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, Hari Qiamat dan lain-lain yang diwajibkan mengimaninya. Apabila ilmunya itu difahami betul-betul dan diyakini sungguh-sungguh, jadilah ia seorang yang mencapai taraf iman ilmu. Had paling minima yang patut dipelajari oleh seseorang bagi membolehkan ia berada di taraf iman ilmu ialah:
  • 20 sifat yang wajib bagi Allah dengan dalil-dalil aqli (akal) dan naqli (Quran) secara ijmali (secara ringkas, tanpa kupasan yang terperinci).
  • 20 sifat yang mustahil bagi Allah dengan dalil-dalil aqli dan naqli secara ijmali.
  • 1 sifat yang harus bagi Allah dengan dalil-dalil aqli dan naqli secara ijmali.
  • 4 sifat yang wajib bagi Rasul, 4 sifat yang mustahil bagi Rasul dan satu sifat yang harus bagi Rasul dengan dalil-dalil aqli dan naqli hanya secara ijmali.
Di dalam 50 sifat (41 sifat ketuhanan dan 9 sifat kerasulan) yang tersebut di ataslah tersimpulnya "Aqaaidul iman" (kesimpulan iman). Kalimah syahadah yang menjadi syarat Islam dan imannya seseorang itu adalah didasarkan atas perkara-perkara penting yang disenaraikan di atas.
Di dalam dua kalimah syahadat itulah terdapat kesimpulan iman. Apabila seseorang mengucap kalimah itu dengan ilmu dan fahaman seperti yang dimaksudkan di atas, maka jadilah imannya sebagai iman ilmu.
Orang yang beriman ilmu, keyakinannya berasas dan kuat bertunjang pada fikirannya. Iktiqad orang iman ilmu disertai dalil yang kuat serta pegangan yang kukuh. Kerana itu mereka ini tidak mudah digoyang atau dihanyutkan oleh fahaman-fahaman lain. Mereka bukan sahaja tidak akan tunduk pada idea-idea yang anti-ketuhanan, tetapi juga mampu menentang idea-idea itu dengan hujah-hujah yang menjadi keyakinan mereka selama ini. Fikiran mereka tidak akan menerima sebarang keraguan dan was-was yang cuba ditimbulkan oleh mana-mana pihak pun. Mereka benar-benar berada dalam fikiran tauhid yang mantap dan unggul.
Siapakah orang-orang ini? Supaya adil, biar saya katakan bahawa mereka kebanyakannya terdiri dari pelajar-pelajar dan bekas-bekas peajar sekolah-sekolah yang memberi keutamaan pada ilmu agama dan ketuhanan. Sekolah-sekolah yang didirikan khusus untuk mendalami pengajian agama dan ketuhanan, yang bersumberkan Quran dan Sunnah. Hanya golongan itu yang dapat mendalami agama secara teratur dan lengkap. Itu pun tidak semua dari mereka yang boleh diterapkan keyakinan beragama itu. Ramai yang lalai lalu dihanyutkan oleh arus sekularisma yang kuat mencabar!
Barang siapa yang beriman ilmu, imannya hanya berada dalam fikiran, tidak dalam hatinya. Segala apa yang diyakini masih dalam bentuk pengetahuan, bukan dalam bentuk kejiwaan. Dia masih dalam fikiran Islamiah, tidak dalam jiwa Islamiah. Dia belum betul-betul kenal Allah, baru setakat tahu adanya Allah (mengetahui dengan akal, mengenal dengan hati). Kerana itu dia tidak merasai adanya Allah dan tidak takut pada Allah. Hatinya tidak ada hubungan dengan Allah, tidak terpaut pada Allah, hatinya tidak merasai kebesaran Allah. Maka ia tidak kasih dan tidak rindu pada Allah. Kalau ada pun ingatamrya pada Allah, hanyalah sekali-sekala, di waktu-waktu dan dipaksa-paksa. Pendek kata, mereka masih berani menderhakai Allah.
Banyak suruhan Allah yang tidak dikerjakan di samping banyak larangan Allah yang dibuat. Mereka masih tergamak membuat dosa. Apakah mereka tidak sedar? Mereka sedar. Segala kederhakaan itu mereka lakukan dalam sedar. Mereka tahu mereka berdosa. Tetapi kenapa dibuat juga? Sebab kekuatan iman ilmu yang mereka miliki tidak mampu melawan nafsu dan syaitan yang merajai hati mereka. Iman yang ada tidak sekuat nafsu yang menggila. Kerana itu mereka selalu tersadai dalam kelemahan dan dosa.
Mari kita lihat beberapa bukti yang menunjukkan orang-orang yang beriman ilmu tidak mampu melawan nafsu:
  1. Ahli-ahli agama bergelar mufti, kadhi, imam, tuan guru, ustaz, ustazah dan lain-lain kebanyakannya terlibat dalam riba. Kalaupun tidak mengasaskan sistem riba, tetapi mereka memberi bantuan moral dan material kepada sistem riba, yang diasaskan dan diperjuangkan oleh kapitalis. Ikutilah syarahan-syarahan mereka, pasti mereka mengutuk pemberi dan penerimaan riba tetapi dalam perlaksanaan hidup mereka, nama mereka turut tersenarai sebagai pemberi riba. Kenapa ini berlaku? Nafsu dan syaitan mengajak mereka mengaut keuntungan dan kemudahan duniawi yang terdapat dalam sistem riba. Walaupun mereka tahu pekerjaan itu salah, tetapi kekuatan tahu tentu tidak sehebat kekuatan mahu. Maka secara sedar mereka menderhaka pada Allah.
  2. Golongan yang sama juga, yakni golongan yang mana pengajian tauhid mereka begitu tinggi. Kerana pengetahuan yang tinggi, mereka cukup berani mengkritik dasar dan sistem pelajaran sekular yang dilaksanakan di sekolah-sekolah dan di kolej-kolej serta universiti-universiti di dalam dan di luar negeri, kononnya tidak Islamik.
    Akan tetapi ketika menghantar anak ke sekolah, mereka menghantarnya ke sekolah-sekolah yang kononnya mereka benci itu. Dari sekolah-sekolah rendah, hingga menengah terus ke universiti-universiti tempatan atau seberang laut, mereka berlumba-lumba bersama orang lain, membantu dan menjayakan sistem sekular. Anak mereka tidak diajar dengan Al Quran dan Hadis, tidak juga tentang iman dan Islam. Anak mereka turut terdidik dengan kehidupan materialistik dan akhlak liar. Bukan mereka tidak sedar tetapi mereka biarkan dan relakan. Maknanya mereka sengaja membelakangkan kehendak Islam. Sebabnya tidak lain, melainkan kerana nafsu dan syaitan yang inginkan kekayaan dan jawatan, sampai membelakangkan Islam. Akhimya terjebaklah mereka dalam kancah kesesatan dan kederhakaan pada Tuhan.
  3. Golongan ahli agama juga, yang telah sampai ke taraf B.A., M.A., dan Ph.D., kerana cukup tahu selok-belok agama tetapi telah turut serta dalam kegiatan mendedahkan au rat dan pergaulan bebas yang menjadi-jadi dewasa ini. Mereka baca ayat Al Quran dan Hadis yang menyuruh tutup aurat. Mereka syarahkan aurat lelaki antara pusat dan lutut dan aurat perempuan seluruh tubuh badan. Tetapi anak isteri, mereka biarkan mengikut perkembangan fesyen. Mereka terima falsafah jahiliah yang memandang cantik dan sesuai pada pakaian yang tidak menutup aurat, yang setengahnya separuh bogel. Mereka ikut serta kegiatan "anti-sorok" yang dicanangkan oleh golongan anti, agama, yang mahu melihat perempuan sentiasa terdedah. Kenapa? Kerana nafsu mengajak begitu dan syaitan mendorong ke situ. Kekuatan iman yang ada tidak mampu melawan kekuatan bisik-hasut oleh syaitan dan nafsu. Hasilnya menderhakalah mereka pada Tuhan. Berdosalah. Maka Nerakalab yang Allah balaskan. Sebagai bukti yang lebih jelas biar saya dedahkan satu cerita benar yang sedang dan telah berlaku hari ini. Ketika berpeluang melawat ke salah sebuah negara Islam di Timur Tengah dahulu saya ditemui oleh pelajar-pelajar Malaysia di sana. Salah seorang dari mereka, iaitu pelajar jurusan syariat telah memberitahu saya bahawa seorang dari pensyarah beliau yang mengajar ilmu feqah dan bergelar professor adalah seorang yang tidak sembahyang.
    Satu lagi sifat yang ada pada golongan iman ilmu ialah tidak sabar ketika berdepan dengan ujian. Tidak redha dengan ketentuan, ketika Allah uji dengan kesusahan dan kerumitan hidup, mereka cemas, gelisah, hilang pertimbangan dan bertindak di luar syariat. Sebaliknya ketika Allah uji dengan kesenangan dan keseronokan hidup, mereka lupa daratan, juga hilang pertimbangan serta mudah terjebak dalam tipuan nafsu dan syaitan.
    Satu jalan yang boleh menyelamatkan orang-orang beriman ilmu dari seksa api neraka ialah dengan membanyakkan taubat, menyesal atas kelemahan serta mohon keampunan dan kasihan belas dari Allah SWT. Kalau Allah maafkan sebelum mati, insya-Allah terselamatlah ia dari api Neraka. Jika tidak, pasti berlakulah janji Allah yakni golongan iman ilmu dimasukkan ke dalam Neraka dulu sebelum ke Syurga.
Cukuplah tiga contoh terbesar buat panduan kita mengenali sifat iman ilmu. Dengan contoh itu saya bukan menuduh ahli-ahli agama kita semua beriman ilmu. Saya dan siapa sahaja tidak boleh tahu apakah taraf iman yang ada di hati orang lain. Cuma, contoh-contoh tadi menerangkan bahawa apabila seseorang yang ada pengetahuan agama, tetapi masih sengaja melanggar perintah Allah maka dia berada ditaraf iman ilmu. Dan kerana kebetulan keadaan begitu adalah pengalaman kita sendiri dan ada di hadapan mata kita, tentu tidak salah saya menyebutkan di sini. Malah akan menjadi kesalahan dan kecuaian saya jika perkara sepenting ini tidak disebutkan di sini. Rasulullah SAW mengingatkan ini dengan sabda baginda:
Terjemahannya: Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah menegahnya dengan tangannya. Sekiranya tidak berkuasa maka tegahlah dengan lidahnya. Jika kamu tidak juga berkuasa hendaklah menegah dengan hati. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman;
(Riwayat: Muslim).
Orang-orang yang mengetahui tentang agama, tahu tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim, sedar pula tentang akibat yang akan menimpa kalau tanggungjawab itu diabaikan tetapi terus berdiam diri, tidak bertindak melaksanakan tugas itu, akan sentiasa mendapat kemurkaan dari Allah.
Firman Allah:
Terjemahan: Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan. Amat besar kebencian di sisi Allah bila kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan (As Saf 2-3)
Penyakit sosial yang dahsyat menimpa ini sebahagian besarnya akibat kecuaian umat Islam hari pendokong-pendokong agama menunaikan amanah yang dipikulkan padanya. Kerana golongan yang diharapkan mewarisi perjuangan. Rasulullah telah tidak memperjuangkan apa yang diwarisinya itu, maka berlakulah apa yang Allah janjikan dan ini pemah disabdakan oleh Rasulullah sebagai menjawab soalan Zainab:
Terjemahan: Wahai Rasulullah, apakah kami akan dimusnahkan juga sedangkan bersama kami masih ada orang soleh (ulama)? Sabda Rasulullah: jika maksiat berluasa. (Riwayat Muslim)
Orang-orang yang beriman ilmu peranannya dalam menegakkan agama belum boleh diharapkan. Imannya itu belum cukup kuat untuk ia betul-betul berani dan mampu menentang berbagai fahaman dan amalan anti-Tuhan yang telah berakar umbi dalam masyarakat kita. Patut sangatlah kita ingati apa yang diingatkan oleh pengarang "Matan Zubad" dalam nazamnya yang berbunyi:
Terjemahannya: Orang yang alim tetapi tidak beramal dengan ilmunya akan diazab lebih dahulu dari penyembah berhala.
Rasulullah SAW telah bersabda:
Terjemahan: Akan berlaku di atas kamu di akhir zaman ahli-ahli ibadahnya jahil dan alim ulama
fasik.
Sabda Rasulullah lagi:
Terjemahan: Apabila tergelincir orang alim, tergelincirlah alam.

3. IMAN AYAN

Peringkat iman yang ketiga ialah iman ayan. Tarafnya lebih tinggi dari taraf iman ilmu. Maknanya orang yang beriman ilmu, kemudian rajin mengerjakan ibadah-ibadah yang boleh menambahkan iman, akan meningkatkan imannya kepada iman ayan. Perlu diambil ingatan bahawa seseorang yang beriman taqlid akan meningkat ke taraf iman ilmu dengan cara belajar menambah ilmu. Tetapl seseorang yang beriman ilmu akan meningkat ke taraf iman ayan dengan cara mengamalkan ilmu-ilmu yang telah diketahuinya dengan, faham dan khusyuk.

Kalau iman ilmu, keyakinan cuma bertempat di fikiran, maka iman ayan keyakinannya bertempat di hati. Melalui belajar, iman akan meresap ke fikiran, melalui ibadah yang khusyuk serta memikirkan kebesaran Allah, iman akal meresap ke hati. Seseorang yang mencapai taraf iman ayan, keyakinannya pada Allah, malaikat dan lain-lain telah memenuhi ruang fikiran dan ruang hatinya. Dia bukan setakat tahu tetapi kenal betul dengan Allah, malaikat dan lain-lain. Dia bukan setakat sedar dengan akal adanya Allah tetapi merasai dengan hatinya akan wujudnya Allah. Kerana itu dia mempunyai hubungan hati dengan Allah, sentiasa mengingati Allah. Orang beginilah yang Allah maksudkan dalam firman-Nya:
Terjemahan: Mereka yang sentiasa mengingati Allah dalam waktu berdiri, waktu duduk dan waktu berbaring dan mereka sentiasa memikirkan tentang kejadian langit. dan bumi, seraya mereka berkata,"Wahai Tuhan kami, tidak Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia Maha Suci Engkau, jauhilah kami dari azab Neraka.
(Ali Imran: 191)
Setiap kali mereka merenung melihat alam yang luas, dengan segala bentuk dan rupa, mereka berfikir tentang Allah, pencipta yang menjadikan semua itu. Lalu terasalah oleh hati mereka Maha Bijak, Maha Kuasa dan Maha Gagahnya Allah. Terasa juga kejahilan, kelemahan dan kehinaan diri di bawah penglihatan Allah. Justeru itu berbisiklah
hati, mengajak diri menyembah, menyerah dan mengabdikan diri pada Allah tanpa syak dan ragu lagi. Sebahagian dari sifat ini ada Allah rakamkan dalam Al Quranul Karim:
Terjemahan: Sesungguhnya orang yang sebenarnya beriman ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan berjihad dengan harta dan diri mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.
(Al Hujurat: 15) .
Selanjutnya Allah menerangkan sifat orang-orang mukmin itu dalam Surah Al Anfal:
Terjemahan: Hanya sanya orang mukmin yang sebenar itu, apabila disebut sahaja nama Allah, gementarlah hati-hati mereka dan apabila dibaca ayat-ayat Quran, bertambahlah keimanan mereka dan hanya kepada Tuhan mereka (Allah) sahajalah mereka menyerah diri. (Al Anfal: 2)
Sikap tawakal atau penyerahan pada Allah hanya mungkin lahir di hati orang-orang yang betul-betul kenal, takut dan harap pada Allah. Perasaan-perasaan itulah yang mendorong ia agar benar-benar menjadi hamba dan rela diperhambakan oleh Allah. Semua perintah Allah, kecil atau besar dipatuhi penuh taat. Dan semua larangan Allah sesuai atau tidak dengan nafsunya ditinggalkan penuh rela. Ini juga ada termaktub dalam Al Quran:
Terjemahan: Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin bila dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar menghukum dengan adil di antara mereka ia lah "Kami dengar dan patuh. Mereka itulah orang-orang yang beruntung" (An Nur: 51)
Rasa taat tanpa syarat yang begitu tidak mungkin ada kalau seseorang itu belum sampai ke peringkat iman ayan. Ia tidak boleh dibuat-buat atau dipaksa-paksa. Ia adalah pemberian Allah sebagai hasil dari ikhlas dan istiqamahnya ibadah seseorang.
Di peringkat iman ayan, tidaklah 24 jam seseorang itu mengingati Allah. Ada juga sewaktu-waktu mereka lalai dan terbuat dosa kecil. Tetapi, setiap kali berlaku demikian, mereka sangat menyesal. Timbul rasa malu dan takut diazab oleh Allah. Ini memaksa mereka bertaubat dengan sebenar-benamya, di samping berjanji sungguh-sungguh tidak akan mengulang perbuatan terkutuk itu. Rasulullah SAW menggambarkan sikap ini dengan sabdanya:
Terjemahan: Orang mukmin itu menganggap dosa yang dilakukannya bagaikan gunung yang besar hendak menimpa mereka.
Di dalam Al Quran, banyak Allah ceritakan tentang sifat orang-orang yang beriman ayan ini. Saya perturunkan sebahagian darinya, secara ringkas untuk mudah difahami:
  1. Khusyuk dalam sembahyang.
  2. Berpuasa.
  3. Berzakat.
  4. Menunaikan fardhu haji bila mampu.
  5. Redha menerima ketentuan daripada Allah.
  6. Sabar menanggung ujian daripada Allah.
  7. Bersyukur ke atas nikmat daripada Allah.
  8. Menjauhkan diri daripada maksiat seperti zina, minum arak, judi, membunuh, cakap kotor, mengumpat, mengeji, memfitnah, mengadu-domba dll.
  9. Sentiasa bermujahadah, melawan nafsu dan membuang sifat-sifat mazmumah seperti ujub, riyak, sombong, hasad dengki, dendam dll.
  10. Berakhlak mulia seperti pemurah, rendah diri, tolak ansur, lapang dada, pemaaf, sabar dll.
  11. Tidak mahu bermewah-mewah, cukup dengan apa yang ada dan sederhana sekali dalam hidup.
  12. Berkasih sayang sesama mukmin, tegas dan keras dengan orang kafir.
  13. Tidak pemah berputus asa dalam menghadapi persoalan hidup.
  14. Sentiasa membetulkan diri dan nasihat-menasihati dengan penuh bijaksana, musyahadah dan muruqabah.
  15. Suka membuat kebajikan dan tolong-menolong sesama manusia terutama sanak saudara, kaum kerabat dan sahabat-sahabat.
  16. Bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah, sekalipun menyusahkan diri sendiri.
  17. Bersungguh-sungguh meninggalkan larangan Allah, sekalipun sangat bertentangan dengan nafsu.
  18. Menjadi pejuang dan berjihad sebagai kerja tetap untuk sepanjang hayat.
Semua sifat-sifat di atas, didorong oleh adanya hubungan hati dengan Allah. Hati yang sentiasa mengenang Allah dalam rasa takut dan harap. Orang-orang yang mempunyai hati yang begini, makin hari makin bertambahlah kesedarannya tentang kehebatan, keagungan, kemurahan dankasih sayang Allah. Sebab masa yang Allah anugerahkan padanya digunakan untuk berfikir, mencari dan mengenali Allah. Matanya digunakan untuk melihat ayat-ayat Allah. Mulutnya digunakan untuk menyebut Allah. Telinganya digunakan untuk mendengar tentang Allah. Kaki dan tangan digunakan untuk berbakti kepada Allah. Pendek kata semua kuasa yang Allah berikan padanya digunakan hanya untuk dan kerana Allah.
Orang-orang yang beriman ayan sangat membenarkan janji Allah bahawa Hari Qiamat pasti tiba. Mereka menanti ketibaan hati yang sungguh bererti itu dengan debar dan bimbang, macamlah seorang calon peperiksaan menanti keluamya keputusan peperiksaan yang diambilnya. Mereka cemas memikirkan nasib diri, apakah Allah terima semua amalannya dengan baik atau sebaliknya. Seakan-akan tidak sabar mereka menunggu keputusan Allah untuk menempat kan mereka di Syurga atau Neraka. Mereka sangat takut pada Neraka, sebab itu setiap kali terpandang alam ciptaan Allah, ingatan terus pada Neraka lantas berdoa, "Lindungilah kami, ya Allah, dari seksa api Neraka."
Seterusnya orang-orang yang beriman ayan sentiasa merasa diawasi. Penglihatan Allah yang tajam terasa menembus hati mereka menyebabkan mereka cukup berhati-hati dalam setiap pekerjaan. Ketika bersuara sama ada di hati atau di mulut mereka sedar bahawa Allah turut mendengar suara itu. Kerana itu percakapan dan fikiran mereka cukup dikawal supaya terselamat dari kemurkaan Allah.
Ketika melihat mereka sedar bahawa Allah mengawasi gerak mata mereka. Kerana itulah mereka kawal mata agar terpelihara dari memandang perkara-perkara yang dilarang Allah. Ketika mendengar juga mereka yakin bahawa Allah menyaksikan apa yang mereka dengar, kerana itu mereka sentiasa mengelak dari mendengar perkara-perkara yang di benci Allah. Begitu juga kalau berdepan dengan ujian-ujian hidup mereka sangat tenang dan mampu pula merasakan pemberian Allah itu sebagai tanda penghapusan dosa atau sebagai tanda kasih sayang Allah pada mereka. Kerana itu mereka redha.
Gambaran hati orang-orang yang beriman ayan ini kalau mahu dimisalkan bolehlah saya contohkan begini:

Seorang murid sekolah dijemput makan sehidangan dengan guru besar sekolahnya. Selalunya seorang murid sangat sayang, hormat, malu, patuh dan takut pada guru besar. Dengan perasaan-perasaan yang begitu, murid tadi akan jadi tidak tentu arah sepanjang majlis makan itu. Gerak-gerinya dijaga sungguh. Matanya pun jadi jinak. Suaranya tidak terkeluar. Makannya sedikit. Fikirannya hanya pada guru itulah. Rasa-rasa guru itu melihatnya, mengawasinya, dan mengetahui lahir batinnya. Dalam keadaan begitu, bolehkah murid itu membuat perkara-perkara yang tidak digemari oleh gurunya itu?
Orang-orang yang beriman ayan, kerana perasaan yang begitulah maka dia tidak langsung terlibat dalam dosa. Kalau ada pun, adalah kerana dosa kecil yang terlalu terbatas,
kerana tidak sengaja atau di luar sedar.
Allah SWT kerana memuji golongan orang yang beriman ayan ini telah menamakan mereka dengan berbagai-bagai nama yang baik :
  1. Orang-orang soleh (orang-orang baik).
  2. Golongan Abrar (orang-orang berbakti).
  3. Orang-orang Muflihuun (orang-orang yang mendapat kemenangan) .
  4. Golongan Al Faizuun (golongan yang mendapat kemenangan).
  5. Ashabul Yamiin (orang-orang yang akan menerima suratan amal dari sebelah kanan di Padang Mahsyar
    nanti).
Mereka yang beriman ayan tidak akan disentuh api Neraka. Mereka ialah ahli-ahli Syurga. Tetapi golongan ini tidaklah segera ke Syurga. Kerana di dunia ini mereka banyak membuat perkara-perkara harus, maka mereka terpaksa dihisab di Padang Mahsyar nanti. Oleh kerana lamanya dihisab maka lambatlah ke Syurga. Tetapi mereka tidak akan ke Neraka. Kalau kita bandingkan nasib orang-orang beriman ayan di Akhirat nanti samalah dengan nasib orang-orang jawatan kecil di dunia ini. Yakni orang-orang"division 3" seperti pegawai, guru, kerani dan lain-lain yang setaraf. Mereka ini selamat, terjamin tetapi tidaklah semewah orang-orang yang lebih atas.
Golongan beriman ayan adalah golongan yang sudah layak diberi mandat untuk membangunkan kehidupan beragama pada diri, keluarga dan masyarakat. Dengan keimanan mereka jadi berani, kuat dan adil. Mereka sanggup menjadi perintis jalan keagamaan dan mampu memecah tradisi jahiliah yang kuat mencengkam manusia sekeliling. Mereka tidak takut pada ejekan, cemuhan, fitnah dan penghinaan. Merekalah pejuang-pejuang dan penegak kebenaran yang ikhlas dan bersungguh-sungguh. Keimanan yang ada benar-benar menjadi benteng yang kuat dan kukuh, yang bersedia menyelamatkan mereka dari serangan musuh lahir dan batin.
Justeru itu kalau kita mahu menegakkan Islam dalam masyarakat, tegakkanlah dulu iman ayan dalam tiap-tiap individu masyarakat. Bila iman tertanam kuat di hati, datanglah apa sahaja perintah syariat, pasti diterima dan dilaksanakan. Tetapi sebelum iman itu masuk ke hati, jangan mimpi nafsu dan syaitan akan membiarkan manusia tunduk pada syariat dan kebaikan. Imam Bukhari ada menyebut:
Surah yang pertama sekali diturunkan ialah Surah Mufassal, yang menceritakan Syurga dan Neraka. Kemudian apabila telah ramai orang memeluk Islam, barulah diturunkan ayat tentang halal dan haram. Kalaulah sekiranya pertama sekali diturunkan ayat "Jangan kamu minum arak!" tentu mereka akan mengatakan, "Kami tidak sekali-kali
akan meninggalkan arak." Dan kalau diturunkan ayat "Kamu jangan berzina" tentu mereka berkata, "Kami tidak akan meninggalkan perzinaan."
Satu hakikat yang mesti kita akui, bahawa hari ini telah bangun orang-orang yang sedar peri pentingnya Islam itu diamalkan dan diperjuangkan. Mereka ini majoritinya bukan terdidik dengan didikan dan ilmu agama. Keimanan mereka kalau kita kaji secara terperinci masih di peringkat taqlid. Tetapi kemahuan mereka besar, semangat mereka berkobar-kobar. Kerana itu suara mereka lantang dan gemanya tersebar luas. Kita bimbang kalau-kalau Islam yang ingin mereka tegakkan bukan dari dorongan iman. Dan kalau begitu, tidak akan ke manalah perjuangan itu.
Apa ertinya rumah besar didirikan di atas lumpur? Bukankah lagi besar rumah, lagi cepatlah tumbangnya? Orang iman ilmu pun belum boleh diharapkan. Mereka hanya pandai bercakap, berforum, berseminar dengan kertas kerja yang berbagai-bagai rupa, tetapi dalam praktik hidup mereka masih cuai dengan syariat, penuh dengan mazmumah dan lain-lain penyakit yang dibenci Allah. Kerana itu menjadi tugas kita bersama untuk menyatukan tenaga-tenaga muda ini. Kita lagang sebagai sepatutnya. Kemudian kita arahkan ke satu arah yang menjadi impian kita bersama. Insya-Allah.
Martabat iman yang akan dicapai oleh seseorang sesudah iman ayan ialah iman hak. Dengan istilah yang lain iman hak disebut iman sebenar. Seseorang yang mencapai iman hak ialah seseorang yang dapat melihat Allah dengan mata hatinya dalam sebarang apa yang ia lihat. Ertinya, iman hak menjadikan seseorang itu segera teringat kepada Allah setiap kali ia memandang atau terpandangkan apa sahaja ciptaan Allah. Ingatan itu bukan dibuat-buat atau dipaksa-paksa atau difikir-fikirkan terlebih dahulu. Ia datang secara spontan (automatik) sekaligus bersama rasa takut, hebat, puja, sanjung dan kasihkan Allah.
Supaya senang difahami, cuba gambarkan keadaan jika secara tiba-tiba kita terjumpa dengan seekor harimau yang garang dan bengis. Apakah kita jadi takut, gerun, menggigil, lemah sendi anggota dan cabut lari? Ini terjadi secara automatik. Ataukah perasaan-perasaan itu datang sesudah difikir-fikir dan ditenung-renung harimau itu? Bagi orang yang mengenali harimau, tentu tidak.
Maka begitulah orang-orang yang beriman hak berdepan dengan alam. Terpandang sahaja keindahan alam, hatinya terus terbang ke alam ghaib, terpaut pada Allah dan karam dalam ingatan itu hingga terlupa pada apa yang di depan matanya.
Orang beriman hak tidak terpesona langsung pada keindahan dan keseronokan duniawi. Cintanya penuh pada Allah dan pada kehidupan Akhirat. Rabiatul Adawiyah merakamkan rasa hatinya ke dalam sebuah sajak berikut:
Dua cinta dalam cintaku pada-Mu
cinta rasa dan cinta kepunyaan-Mu
adapun cinta rasa itu
tiada diingatanku selain dari-Mu
adapun cinta kepunyaan-Mu
tabir-Mu yang tersingkap menampakkan wajah-Mu
jadi bukanlah bagiku pujian itu
tapi segalanya adalah untuk-Mu.
Di satu ketika yang lain, wanita wali Allah ini berbisik lagi pada Allah, kekasihnya dengan maksud:
Aku menyembah bukan kerana takutkan Neraka-Mu
tidak juga kerana harapkan Syurga-Mu
tapi kerana kemuliaan dan cintaku pada-Mu.
Dengan hati yang begitu orang-orang yang beriman hak ini tidak langsung dapat dilalaikan oleh nafsu dan syaitan. Katakanlah dia terpandangkan perempuan cantik, segera dia teringatkan Allah. Dia memuji Allah atas kebijaksanaan dan kekuasaan-Nya mencipta sesuatu yang indah dan cantik. Dia terasa hina dan lemah diri sebagai hamba yang diciptakan Allah. Terasa takut dan gerun dengan Neraka Allah dan seluruh perasaannya tertumpu pada Allah. Perempuan yang dipandangnya tadi tidak pun mengganggu hatinya, malah sudah tiada dalam penglihatannya.
Bagi orang-orang golongan ini nafsu mereka sudah benar-benar ditundukkan dan syaitan tidak lagi berani menghampiri. Diriwayatkan bahawa apabila Sayidina Umar r.a. melintasi suatu jalan maka syaitan tidak lagi akan melintasi jalan itu kerana takutnya pada Sayidina Umar. Kerana itu, orang-orang yang beriman hak tidak akan sedikit pun berbuat dosa. Tidak juga mengambil perkara-perkara yang diharuskan, yang memungkinkan banyaknya hisab di Akhirat kelak. Pada mereka, orang-orang soleh yakni mereka yang beriman ayan masih dianggap sebagai orang-orang jahat. Ini dapat kita fahami dari kata-kata mereka yang menganggap bahawa kebaikan orang-orang soleh itu sebagai kejahatan bagi orang-orang muqarrobin.
Dan pada mereka, menjadi orang soleh itu adalah satu seksa. Kenapa tidak? Orang soleh akan menghadapi banyak hisab, kerana itu lambat ke Syurga. Lambat ke Syurga itulah satu seksa.
Di Akhirat nanti semua orang ingin sampai ke Syurga, kampung asal lahirnya ayah bonda kita Nabi Adam a.s dan isteri. Rindu dan inginnya melihat dan merasa kehidupan Syurga melonjak-lonjak dalam hati orang-orang yang tahu yang dia akan ke sana. Apa kata kalau dalam perjalanan itu kita diganggu, diperiksa, digelidah dan dilambat-lambatkan? Terseksanya jiwa! Sementelahan pula masa di Akhirat sangatlah panjang. Satu hari di sana sama dengan seribu tahun di sini. Katakanlah seseorang itu kena hisab selama satu hari, maknanya dia terpaksa tunggu 1000 tahun. Alangkah lamanya! Sedang dalam tempoh itu orang-orang yang sudah lepas dapat menikmati buah-buahan dan minuman Syurga. Sudah berehat dan tidur di sana. Sudah dapat bidadari dan sudah dapat melihat wajah Allah SWT. Mengenangkan itu semakin terseksalah orang yang sedang dihisab tadi.
Orang-orang yang mencapai iman hak digelar Allah sebagai muqarrobin yakni orang-orang yang hampir dirinya dengan Allah. Merekalah yang kita kenali sebagai wali Allah. Sifat yang istimewa yang ada pada mereka ialah seperti Allah firmankan:
Terjemahan: Sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak pernah merasa takut dan dukacita. (Yunus: 62)
Ekoran dari sikap itu mereka akan bertindak sebagai seorang yang:
  • Zahid
  • Ikhlas
  • Waraq
  • Menunaikan semua perintah Allah
  • Tidak takut dengan bala Allah dan tidak lalai dengan nikmat Allah
  • Tidak makan dipuji dan tidak hina bila dicaci.
Pendek kata segala masalah yang menimpa walau apa pun bentuknya sama sahaja pada mereka. Ujian-ujian yang biasanya tidak tertanggung oleh orang-orang awam tidak pun menjejaskan hati mereka. Kerana itu segala kesedihan, kesempitan, kegelisahan dan kekecewaan yang sering dirasakan oleh manusia biasa tidak pernah sedikit pun menganggu jiwa mereka. Dalam apa sahaja suasana, mereka tenang, lapang, lega dan bahagia. Iman hak menjadikan mereka sentiasa berada dalam kebahagiaan. Kebahagiaan hati tentu sekali lebih baik dari kesenangan wang ringgit dan pangkat darjat. Dengan kebahagiaan itu orang-orang muqarrobin sebenamya telah memperolehi syurga di dunia lagi. Kerana itu bagi orang-orang ini, dunia hanyalah alat permainan yang menipu daya. Ini sesuai dengan firman Allah:
Terjemahan: Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah mata benda (kesenangan) yang menipu daya.
(Ali tmran: 185)
Sayidina Ali k.w. pernah ketika sendirian di masjid berbisik memberitahu hatinya dengan katanya:"Wahai dunia, kalau engkau hendak menipu, janganlah tipu aku. Tipulah orang lain."
Hati orang-orang muqarrobin tidak langsung terpaut pada dunia. Pada mereka dunia ini tidak ada nilai apa-apa pun. Harta benda, Wang ringgit, pangkat darjat, dan keseronokan-keseronokan lainnya pada mereka seperti najis atau
bangkai.
Oleh itu bukan saja mereka tidak rebutkan, ingin pun tidak. Jangan pula disalahfahamkan kenyataan ini. Saya tidak katakan orang yang benci pada najis atau bangkai itu tidak pemah menggunakannya. Najis atau bangkai itu tidak dibiarkan melekat atau mengotori diri mereka, sebab itu mereka buang, menjadikan baja atau beri pada orang-orang yang memerlukannya atau disimpan sahaja di tempat yang boleh mengelakkan bahaya.
Sayidina Umar, Sayidina Usman dan Sayidina Abdul Rahman bin Auf adalah hartawan-hartawan Quraisy. Nabi Muhammad SAW sendiri asalnya adalah juga berharta. Tetapi harta baginda itu habis dikorbankan untuk berdakwah.
Sayidina Abu Bakar juga mengorbankan semua hartanya untuk jihad fisabilillah. Sayidina Umar pula menyerahkan separuh hartanya untuk peperangan menegakkan agama. Sayidina Usman pun turut mengorbankan beribu-ribu ekor untanya, juga untuk kepentingan agama.
Dapatkah pengorbanan-pengorbanan sebesar itu dilakukan oleh orang-orang yang lemah iman seperti kita? Untuk keluarkan 10% dari Wang gaji bulanan pun sudah terseksa apalagi untuk korbankan 50% dari harta benda yang ada. Kita cintakan dunia sama seperti orang muqarrobin cintakan Akhirat. Sebab itu kita telah berkorban untuk dunia kita seperti mereka berkorban untuk Akhirat. Tetapi yang anehnya, mereka yang bencikan dunia telah dapat menawan tiga suku keluasan dunia dengan segala isinya sedangkan kita yang begitu ingin memilikinya sering putih mata! Itulah Sunnatullah. Firman Allah:
Terjemahan: Katakanlah, jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu miliki, perniagaan yang kamu takuti kerugiannya dan rumah-rumah yang kamu sayangi, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.
(At Taubah: 24)
Lebih kurang 1400 tahun dulu umat Islam kebanyakannya berada di peringkat iman hak dan dipanggil muqarrobin. Dalam sejarahnya, mereka telah menguasai, menawan dan memperalat segala isi dunia untuk berbakti kepada Allah. Dan mereka berjaya. Tiga suku dunia tunduk menyerah. Faktor terpenting kenapa kejayaan begitu besar telah mereka perolehi ialah kerana kekuatan iman yang mereka miliki. Hati yang beriman, yang cinta pada Allah, rindu pada Syurga dan takutkan seksa Neraka itu telah mendorong mereka untuk melaksanakan segala titah perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Kerana itu mereka telah dapat menegakkan sebuah sistem pemerintahan yang benar-benar aman, makmur lagi diredhai Allah.
Maka jika kita bercita-cita untuk mengulangi sejarah seagung itu, langkah pertama yang perlu diambil ialah pertingkatkan iman tiap-tiap individu masyarakat ke taraf yang setinggi mungkin. Apabila hati dipenuhi iman, jiwa akan merdeka (bebas dari kongkongan nafsu, hasutan syaitan, dan tarikan dunia) dan Allah juga kasih pada kita, maka tidak akan ada suatu kuasa lagi yang boleh menggagalkan kita.
Baru waktu itu kita dapat merancang dan mentadbir masyarakat sesuai seperti yang dikehendaki Allah. Dan dari situlah Islam baru dapat kita tegakkan secara syumul dan sempurna. Peringkat iman yang tertinggi, yang termungkin dicapai oleh manusia ialah iman hakikat. Untuk mencapai peringkat ini manusia tentulah telah melalui taraf iman ilmu, iman ayan dan iman hak, dan akhir sekali barulah mencapai iman hakikat: Inilah iman yang kemuncak, taraf iman yang paling tinggi dan paling sempuma. Inilah taraf iman yang dimiliki oleh rasul-rasul, nabi-nabi, khulafa' ur Rasyidin dan wali-wali besar, yakni para kekasih Allah. Dengan iman ini mereka akan Allah tempatkan di Syurga yang tertinggi tanpa melalui sebarang hisab atau perkiraan.
Dalam kehidupan sehari-hari, mereka yang beriman hakikat tenggelam dalam kerinduan, asyik dan mabuk dengan Allah. Dua puluh empat jam mereka isi sepenuhnya mabuk dengan Allah. Hati yang penuh rindu dan cintakan Allah menjadikan mereka lupa pada diri yang lahir, lupa makan minum dan tidak pedulikan orang lain selain Allah. Kadang-kadang kerana tidak tahan menanggung rindu itu mereka sampai mati, maka bertemulah dengan Allah, kekasih yang dirinduinya itu.
Di Akhirat, Allah tempatkan mereka di Syurga tertinggi. Merekalah golongan super-scale Akhirat. Hidup dalam Syurga yang maha indah dan maha lazat. Allah kumiakan sebagai membalas cinta dan pengorbanan mereka yang sungguh besar.

Comments

  1. saya rasa teruja dengan penulisan admin...insyaAllah semoga kita mampu mencapai tahap iman tertinggi untuk di persembahkan kepada Allah Azzawajalla

    ReplyDelete
  2. Alfatehah buat Abuya Ashaari Muhammad penulis buku iman dan persoalannya

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Bab 3 Kepentingan Iman

Bab 6 Perkara Yang Merosakkan Iman