Bab 1 Iman

IMAN ialah asas penting, yang menjadi tapak tempat berdirinya peribadi mukmin. Kalau manusia diibaratkan seperti sepohon pokok, maka iman ialah akar tunjang bagi pokok itu. Kalau pula manusia diibaratkan seperti sebuah rumah, maka iman ialah tapak di mana terdirinya rumah itu. Demikianlah pentingnya iman dalam usaha melahirkan seorang manusia yang sempuma lagi diredhai Allah SWT. Tanpa iman, seseorang itu akan sama seperti pokok yang tidak berakar tunjang atau rumah yang ketiadaan "foundation". Maknanya, seseorang yang tiada iman tidak akan ada kekuatan untuk berdepan dengan hidup. Dia pasti gagal. Kalaupun ada tanda-tanda Islam melalui ibadah lahir, tetapi ibadah itu tidak akan berfungsi apa-apa sewaktu manusia yang tiada iman berdepan dengan persoalan-persoalan hidup. Lagi banyak ibadah, lagi cepat gagalnya, sepertilah lagi besar pokok yang tidak berakar tunjang, lagi cepatlah tumbangnya atau lagi besar, rumah yang didirikan di atas lumpur, lagi cepatlah robohnya.
Datang ujian kecil pun orang yang tiada iman sudah goyang. Apalagi ketika berdepan 'dengan ujian-ujian yang besar, hanyut dan karamlah dia. Sejarah telah membuktikan ini dalarn berbagai-bagai bentuk. Seorang wali Allah dengan"karamah-karamah" yang luar biasa, pengikut-pengikut berpuluh ribu dan ibadah pun seperti ibadah nabi-nabi, tetapi di akhir hayatnya telah kafir, kerana telah berjaya ditipu oleh syaitan hanya dengan seteguk arak dan seorang perempuan.
Di zaman kita ini pun banyak berlaku orang-orang yang mulanya gigih, serius dan banyak ibadab serta lantang pula suaranya memperkatakan Islam, tetapi hanya Allah uji dengan isteri atau gaji atau pangkat atau pengikut atau alam sekitar jahiliah, sudah pun lemah, takut, malas dan akhirnya ibadah dan perjuangan hilang bersama hilangnya suara dan pegangan.
Dan sering pula berlaku dalam masyarakat kita dewasa ini, orang-orang yang kita namakan ulama, kerana banyaknya ilmu dan ibadah mereka seperti sembahyang, puasa, haji, zikir, hafal Quran, tetapi sering kecundang bila berdepan dengan ujian-ujian hidup. Apabila diuji, mereka jadi pemarah, keluh-kesah, hasad dengki, bakhil, gila dunia, sombong, gila puji, pendendam dan lain-lain sifat yang sangat ditegah dan dibenci oleh Allah SWT. Sebab yang paling penting kenapa itu semua boleh berlaku ialah kerana lemahnya iman.
Faktor-faktor lainnya turut bertindak hanya kerana faktor penting itu yang mendahului. Iman yang benar dan kuat umpama mutiara yang tersimpan di dasar laut, walau sekencang mana pun ribut dan ombak menghempas, ia tetap tahan, kukuh dan tidak berganjak.
Jadi orang yang kuat iman walau sehebat mana pun ujian ia tetap yakin, tenang, sabar dan redha, tidak terlintas sedikit pun dihatinya untuk melanggar syariat dan meninggalkan perjuangan dan jemaah Islamiah
Islam dapat tegak dan kekal dalam peribadi atau masyarakat-masyarakat manusia hanya kerana ada dan kuatnya iman. Tanpa iman yang kuat, Islam hanyalah satu simbol lahiriah yang diamalkan sebagai satu amalan tradisi dan kebiasaan semata-mata. Sebaliknya iman yang kuat akan menghasilkan peribadi yang benar-benar kuat dan Islamik. Islam ialah amalan lahir. Iman ialah amalan hati (batin).
Kalau iman kuat, Islam pasti kuat. Tetapi kalau Islam yang kuat belum tentu imannya kuat. Ini mesti diperhatikan betul-betul. Jangan kita jadi orang yang kuat beramal sahaja tetapi lemah imannya, sebaliknya jadilah orang yang kuat beriman dan kuat beramal. Allah menjanjikan keuntungan itu hanya tertentu bagi orang-orang yang beriman dan beramal.
Firman Allah SWT:
Terjemahan: Demi masa, sesungguhnya manusia itu semuanya berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. (Al 'Asr: 1-3)
Allah menyebutkan iman itu dahulu, sebagai syarat bahawa amalan yang didahului atau didorong oleh iman sahaja yang akan dinilai. Rasulullah turut mengingatkan ini dengan sabda baginda:
Terjemahannya: Allah tidak melihat kepada rupamu dan hartamu (gambaran lahir) tetapi Dia melihat hati kamu dan amalan kamu. (Riwayat: Muslim)
Sebanyak mana pun amalan lahir, seperti sembahyang, puasa, menutup aurat, zikir, doa, sedekah berjuang dan berjihad tidaklah ada erti apa-apa di sisi Allah. Dalam mengertikan Hadis ini ada orang berkata: "Buat jahat pun tidak mengapa asalkan hati baik, sebab Allah bukan memandang amalan lahir tapi melihat amalan hati." Kalau dihuraikan maksud perkataan mereka itu, bolehlah kita katakan tinggal sembahyang pun tak apa, dedah aurat pun tidak mengapa, maksiat pun tidak mengapa. Yang penting hati baik. Untuk mengetahui betul atau tidak kenyataan itu cuba jawab soalan ini: "Baikkah hati orang yang tidak sembahyang dan menderhaka pada Tuhan?" Menderhaka kepada ibu bapa pun 'kita anggap jahat, apalagi kalau menderhaka kepada Allah. Orang yang sembahyang pun Allah tidak jamin baik, apalagi orang yang langsung tidak sembahyang. Tutup aurat pun Allah tidak terima kalau niat tidak kerana Allah, apalagi kalau langsung tidak menutup aurat.
Pernah berlaku di zaman Rasulullah, seorang Sahabat turut serta berhijrah dari Makkah ke Madinah. Sahabat ini berhijrah bukan kerana menunaikan perintah Allah, tetapi beliau ingin berkahwin dengan seorang perempuan yang tinggal di Madinah. Kebetulan masa pemergiannya sama dengan hijrah. Bila perkara ini diberitahu kepada Rasulullah, baginda terus bersabda:
Terjemahannya: Sesungguhnya sah amalan itu dengan niat. Sesungguhnya bagi setiap orang dinilai dari apa yang diniatkan. Sesiapa yang hijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah dinilai kerana Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrah kerana keduniaan yang diidamkan, atau perempuan yang ingin dikahwininya maka hijrahnya dinilai kerana itulah. (Riwayat: Al Bukhari dan Muslim)
Hati yang baik ialah hati yang beriman dan ikhlas beramal kerana Allah. Adakah orang yang tinggal sembahyang, mencuri atau dedah aurat itu diniatkan kerana Allah? Mustahil. Bawalah alasan apa sahaja, yang jelas dia cuba "loyar buruk" dengan Allah. Orang-orang begitu, kalau tidak bertaubat, di Akhirat nanti tahulah dia siapakah dia yang sebenar dan di mana tempatnya. Allah menyatakan ini dengan firman-Nya:
Terjemahan: Maka datanglah sesudah mereka pengganti-pengganti yang jahat yang meninggalkan sembahyang dan memperturutkan hawa nafsu, maka mereka kelak akan menemui kesesatan. (Maryam: 59)
Saya tegaskan sekali lagi bahawa, orang-orang yang beriman sudah tentu akan beramal. Tetapi orang yang beramal belum tentu benar-benar beriman. Dan orang lain yang langsung tidak beramal, lagi lemahlah imannya atau langsung tiada iman. Sebab itu Allah sering mengingatkan bahawa amalan yang akan diterima-Nya hanyalah amalan dari orang-orang yang beriman. Di antara firman-firman Allah yang menunjukkan demikian ialah:
Terjemahan: Maka siapa yang mengerjakan amal soleh, sedang dia beriman, maka usahanya itu tidak diabaikan dan sesungguhnya Kami menuliskan amalannya itu untuknya. (Al Anbia: 94)
Terjemahan: Dan orang-orang yang beriman beramal soleh, mereka itu penghuni Syurga, mereka kekal di dalamnya. (Al Baqarah: 82)
Terjemahan: Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan masuk Syurga dan tidak dianiaya sedikit pun. (Maryam: 60)
Terjemahan: Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh akan memperolehi Syurga yang penuh kenikmatan. (Luqman: 8)
Berpandukan ayat-ayat itu, faham dan sedarlah hendaknya kita tentang pentingnya iman itu mendahului amalan-amalan yang baik. Orang yang mengaku beriman tetapi tidak mahu beramal adalah penipu. Orang yang beramal tetapi tidak beriman adalah tertipu. Sebab itu Rasulullah SAW memberi amaran keras pada orang yang tidak beriman di samping menyanjung tinggi orang yang beriman. Sabda baginda yang bermaksud:
Dua rakaat sembahyang orang beriman adalah lebih baik dari 2000 rakaat sembahyang orang yang tidak beriman.
Dengan Hadis ini mudah-mudahan sedarlah kita betapa sia-sianya kerja yang tidak didorong oleh iman. Dari itu eloklah bersiap-siap untuk memeriksa hati sendiri, apakah beriman atau tidak. Cara pemeriksaan itu hendaknya sistematik dan ihniah, bukan agak-agak tanpa panduan. Di dalam bab-bab berikut, saya cuba bentangkan panduan itu, setakat yang diizinkan Allah.

Comments

Popular posts from this blog

Bab 4 Peringkat peringkat Iman

Bab 3 Kepentingan Iman

Bab 6 Perkara Yang Merosakkan Iman