Bab 9 Penutup

MASA beredar detik demi detik, tidak pernah berhenti. Satu detik yang ditinggalkan bererti satu detik umur kita hilang. Satu detik berlalu bermakna satu detik juga bertambah dekatnya kita dengan kematian.
Mati ialah perpindahan kita dari alam dunia ke Alam Barzakh. Di sana Allah akan lanjutkan hidup kita. Kehidupan di sana ialah balasan kepada cara hidup di dunia. Andaikata yang kita pilih di dunia ialah kehidupan beriman dan beramal baik maka di Barzakh kita akan menerima ganjaran kebaikannya. Sebaliknya kalau di dunia kita kufur dan beramal jahat, maka di Alam Barzakh Allah akan balasi kita dengan balasan yang setimpal, akan kekallah kita begitu, hingga tibanya Hari Qiamat, di mana Allah akan sempurnakan pembalasan kepada hamba-hamba-Nya.
Firman Allah SWT:
Terjemahan: Kalau matahari digulung. Dan apabila bintang berguguran. Dan apabila gunung-gunung dihancurkan. Dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan. Dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan. Dan apabila lautan dijadikan meluap Dan apabila roh-roh dipertemukan dengan tubuh. Dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya, tentang dosa apakah dia dibunuh. Dan apabila catatan amal manusia dibuka. Dan apabila langit dilenyapkan. Dan apabila Neraka Jahim dinyalakan. Dan Syurga didekat. Maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakan. (At Takwir: 1-14)
Di Hari Qiamat akan bangkitlah manusia dari Alam Barzakh dalam bentuk sepertimana yang diwarisi semasa hidup di dunia. Orang yang beriman adalah golongan yang berjaya. Allah memberitahu khabar gembira ini dengan firman-Nya:
Terjemahan: (Pada Hari Qiamat) banyak muka pada hari itu berseri-seri. Merasa senang kerana usahanya. Dalam Syurga yang tinggi. Tidak kamu dengar di dalamnya perkataan yang tidak berguna. Di dalamnya ada mata air yang mengalir. Di dalamnya ada takhta-takhta yang ditinggikan. Dan gelas-gelas yang terletak. Dan bantal-bantal sandaran yang tersusun. Dan permaidani-permaidani yang terhampar. (Al Ghaasiyah: 8-16)
Sebaliknya orang-orang yang ingkar dan menderhaka kepada Allah, adalah golongan yang gagal dan menderita. Firman Allah:
Terjemahan: Banyak muka pada hari itu tunduk terhina. Bekerja keras lagi kepayahan. Memasuki api yang sangat panas. Diberi minum (air) dari sumber yang sangat panas. Mereka tiada memperolehi makanan selain dari pohon yang berduri. Yang tidak menggemukkan dan tidak menghilangkan lapar. (Al Ghaasiyah: 2-7)
Di Hari Qiamat manusia dikelaskan hanya dua kelas; iman atau kafir. Tidak ada kelas ketiga. Siapa yang dapat masuk ke kelas iman, berbahagialah dia dalam Syurga selamanya. Siapa yang terpaksa masuk kelas kafir, menderitalah dia dalam Neraka selamanya. Siapakah dari kita yang mahu dan sanggup menerima penderitaan? Diuji dengan sedikit kesusahan di dunia ini pun kita sudah keluh-kesah dan tidak sabar, apalagi kalau selamanya dibenamkan di dalam api, dengan segala penyeksaan dan penghinaan yang dahsyat. Sesungguhnya tidak akan ada siapa pun yang mahu.
Kalau begitu kita tidak ada pilihan lain selain beriman. Dalam peluang hidup yang masih ada ini, kita masih berpeluang untuk memilih. Maka pilihlah jalan hidup beriman. Jalan yang telah diterokai oleh nabi dan rasul. Jalan yang telah ditunjukkan oleh Al Quran dan Sunnah. Jalan yang lurus, yang kita pohon setiap kali mendirikan sembahyang:
  • Tunjukilah kami (ya Allah) jalan lurus.
  • Jalan mereka yang Engkau beri nikmat.
  • Bukan jalan mereka yang Engkau murkai.
  • Tidak juga jalan mereka yang sesat.
Jalan itu adalah kehidupan yang diasaskan atas rasa cinta pada Tuhan, rindukan Syurga dan takutkan Neraka di Akhirat. Dengan tiga bentuk perasaan itu, mereka sentiasa berperang dengan hawa nafsu dan syaitan. Mereka sentiasa melebihkan kepentingan Akhirat dari kepentingan dunia mereka. Sifat-sifat mereka Allah cantumkan dalarn Al Quran dengan firman-Nya:
Terjemahan: Adapun orang yang takut pada kebesaran Tuhannya, dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya Syurgalah tempat tinggalnya. (An Naaziat: 40-41)
Tidak pernah berniat untuk menderhaka kepada Allah sebaliknya mereka sentiasa merancang dan bersedia untuk berbakti pada Allah.
Sudah menjadi Sunnatullah bahawa jalan-Nya ini adalah susah dan payah. Menempuhnya bererti menyusahkan diri dengan segala pengorbanan yang besar-besar. Bagaimanapun ia adalah paling mulia. Jalan inilah yang telah ditempuh oleh para anbia dan mursalin, orang-orang muqarrobin dan orang-orang solehin. Mereka itu semuanya telah berjaya sampai ke hujung dan sekarang sedang menghadapi nikmatnya. Kita yang masih tinggal, jalanilah terus. Usah ragu dan bimbang. Kepayahan yang sedang kita tanggung sebenarnya ialah harga kebahagiaan yang akan kita terima nanti. Insya- Allah.
Semoga Allah memandu kita dengan taufik dan hidayahNya, agar kita tetap di atas jalan-Nya. Semoga umur yang masih diizinkan ada pada kita, dapat kita pergunakan sepenuhnya untuk berbakti kepada-Nya. Amin. Amin. Amin ya Rabbal 'Alamin.

Comments

Popular posts from this blog

Bab 4 Peringkat peringkat Iman

Bab 3 Kepentingan Iman

Bab 6 Perkara Yang Merosakkan Iman