Muqaddimah

DI ANTARA banyak-banyak nikmat yang Allah anugerahkan pada kita, ada satu nikmat yang paling bernilai dan sangat penting iaitu iman. Maknanya semua nikmat-nikmat lain seperti kesihatan, kepandaian, kecantikan, kemasyhuran, harta benda, wang ringgit, pangkat darjat, anak-pinak dan lain-lain yang sedang kita nikmati, tidaklah semahal dan sepenting iman. Tapi dalam kekecohan krisis nilai hari ini, ramai orang telah menganggap bahawa iman tidak penting. Ini dapat dibuktikan dengan melihat sikap hidup mereka. Semua program harian hanya bertujuan mencari keuntungan duniawi, dengan melupakan kepentingan iman. Bentuk kehidupan orang beriman bukan sahaja dianggap kolot dan ketinggalan zaman tetapi ditentang habis-habisan.
Kehidupan di Akhirat yang sering dimimpikan oleh orang-orang beriman, telah mereka lupakan, malah sesetengahnya merasa ragu tentang kedatangannya. Maka hiduplah manusia hari ini dengan berpandukan akal fikiran dan nafsu syaitan semata-mata. Akibatnya, masyarakat manusia kini sedang hanyut dilambung gelombang kerakusan nafsu dan syaitan. Tidak sedikit yang sudah menjadi mangsa dalam perangkap yang ditempahnya. Tanpa iman individu atau masyarakat manusia tidak mungkin akan mendapat ketenangan dan kebahagiaan hidup yang sebenar dan abadi. Di dunia akan dihimpit oleh kegelisahan dan kekalutan hidup, manakala di Akhirat akan Allah benamkan ke dalam api Neraka.
Oleh itu hendaklah kita sedar bahawa iman itu sangat penting dan perlu dimiliki. Ia perlu dicari sebagaimana kita mencari harta benda. Ia tidak mungkin datang sendiri tanpa usaha dan ikhtiar dari kita, sepertilah duit tidak pemah datang sebelum kita berusaha mendapatkannya. Sudah menjadi Sunnatullah, sesuatu yang berharga adalah susah untuk dicari dan dimiliki. Umpama mutiara atau intan berlian dan emas permata, sangatlah payah mencari dan mendapatkannya. Manusia terpaksa berkorban nyawa, menyelami lautan dan membelah bumi kerananya. Kalau tidak begitu, terpaksa pula mengumpul duit bertahun-tahun lamanya kerana membeli barang berharga itu. Kadang-kadang manusia mati sebelum memperolehi barang yang sangat diingini itu. Begitu susahnya bagi kita mendapatkan sesuatu yang berharga. Tetapi perkara yang tidak berharga, tidaklah susah mendapatkannya. Misalnya pasir, batu atau tanah. Di mana-mana sahaja kita boleh mendapatkannya, tanpa usaha ikhtiar yang berat dan susah. Kadang-kadang kita tidak berhajat pun untuk mengambilnya tapi ia pula yang mahu mengikut kita, dengan melekat pada baju atau kasut kita. Iman, nilainya
melebihi nilai intan atau berlian.
Justeru itu mendapatkannya adalah lebih susah dari mendapatkan mutiara dan intan berlian. Manusia wajib menggadai semua nikmat-nikmat lain untuk mendapatkan iman yang setinggi-tingginya. Jika tidak; usah mimpi iman itu akan datang dan masuk bertakhta di hati. Mungkin boleh disebut dan diingat selalu tetapi tidak mungkin boleh dirasai dan dimiliki. Iman sebenamya bukan di mulut. Tidak juga pada akal tetapi tersemat kuat di hati dan di jiwa manusia. Iman juga bukan bersandarkan pada amalan-amalan lahir seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain walau pun perkara itu diperintah tetapi iman ada pada amalan-amalan hati. Ini dapat difahami dari sepotong Hadis yang berbunyi:
Terjemahan: Bukanlah lebihnya Abu Bakar dari kamu sebab banyaknya puasa dan banyaknya sembahyang, tetapi yang melebihkan Abu Bakar ialah iman yang tersemat di dadanya.
Seterusnya baginda bersabda:
Terjemahan: Kalau iman itu ditimbang, maka timbangan iman Abu Bakar adalah melebihi timbangan semua manusia di dunia ini.
Kedua-dua Hadis di atas membuktikan bahawa iman adalah wujud tersendiri bebas dari ikatan dan kongkongan luar. Tempatnya di hati manusia dan bertindak sebagai tenaga penggerak yang boleh mengarahkan manusia kepada apa yang dikehendakinya. Amalan-amalan lahir seperti sembahyang dan lain-lain tidak mestinya sebagai simbol adanya iman di dalam hati manusia. Sembahyang adakalanya dari arahan iman dan ada ketikanya bukan dorongan iman. Ini difirmankan sendiri oleh Allah SWT:
Terjemahan: Orang Arab Badwi itu berkata, "Kami telah beriman." Katakanlah pada mereka, "Kamu belum beriman." Tapi kamu katakanlah, "Kami telah tunduk (Islam)." Kerana iman itu belum ma suk ke dalam hatimu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, 'Dia tidak akan mengurangi sedikit pun pada (pahala) amalanmu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al Hujurat: 14)
Jelaslah bahawa iman terpisah daripada amalan lahir. Walaupun hubungan keduanya agak rapat tetapi kedua-duanya tetap terpisah. Yang satu ada di luar dan yang lain ada di dalam hati manusia. Dari itu menjadi tugas kita untuk mempastikan bahawa kita wajib memiliki kedua-duanya. Bagaimanapun imanlah yang lebih diutamakan. Iman bukan sahaja akan menjamin kekalnya amalan-amalan lahir seseorang tapi akan bertindak sebagai sumber kebahagiaan manusia di dunia dan Akhirat. Iman ialah segala-galanya; ketenangan, kekuatan, hiburan, kekayaan, kelapangan dan semuanya yang diidam-idamkan manusia. Malah iman ialah kehidupan kita. Matinya zaman kegemilangan Islam adalah berpunca dari lenyapnya iman dari hati umat Islam. Hina dan lemahnya kita hari ini pun adalah kerana tipisnya iman yang kita warisi.
Oleh itu, demi kebangkitan Islam yang kita harapkan kini, berjuanglah untuk mencari dan menambahkan iman. Berikrarlah untuk berkorban apa saja untuk iman. Relakan diri untuk diperalatkan dalam perjuangan merebut iman. Dan supaya semua itu mudah dilakukan yakinlah bahawa Allah sentiasa mengawasi kita dan bila-bila masa sahaja Dia boleh memanggil kita untuk dipersoalkan tentang semua yang kita lakukan semasa menjalani hidup yang diamanahkan-Nya. Di hari itu, tiada apa yang akan melindungi kita melainkan iman. Allah berfirman:
Terjemahan: Di hari qiamat harta dan anak-pinak tidak berguna lagi. Kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera bersih dan beriman. (A Syuara 88-89)

Comments

Popular posts from this blog

Bab 4 Peringkat peringkat Iman

Bab 3 Kepentingan Iman

Bab 6 Perkara Yang Merosakkan Iman